-->
Booking.com

Sunday, September 5, 2010

Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long


Besut telah diisytiharkan sebagai Daerah Ukiran Kayu pada Ogos 1999 sebagai satu pengiktirafan ke atas pengukir-pengukir kayu yang terkenal di Daerah Besut seperti Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999), Hj Wan Su Bin Othman (Tokoh Seni Negara 1997), Abd.Rahman Long , Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003, Adiguru Kraf 2007) dan Norhaiza Bin Nordin.


Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long mula di bina pada awal tahun 2005 di kawasan Istana Tengku Long di atas tapak seluas 3,500 Meter Persegi. Istana Tengku Long merupakan istana yang dibina oleh Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam, Raja Besut Ke-4 pada tahun 1875. Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long ini siap dibina pada bulan Jun 2007. Jarak perjalanan untuk ke Desa Ukiran Kayu ini dari Bandar Kuala Terengganu ialah kira-kira 100 km.


Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long yang mula dibuka dengan rasminya pada 21 Februari 2008 ini terletak di kawasan Pekan Kampung Raja, Besut, Terengganu. Selain dari pengiktirafan, salah satu tujuan penubuhan Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long ini ialah sebagai Pusat Latihan Seni Ukiran Kayu kepada golongan muda untuk terus menghidupkan seni warisan tersebut.


Selain menjadi tempat pengajaran seni ukiran, Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long akan dijadikan pusat pembangunan seni ukiran warisan tersebut sebagai pemangkin sebuah industri yang dapat membantu menjana pendapatan penduduk tempatan.


Sebelum ini, terdapat beberapa bengkel ukiran kayu di daerah berkenaan yang diusahakan secara persendirian iaitu Balai Seni Ukir Wan Mustafa Su di Kampung Alor Lintang, Bengkel Pakatan Seni Ukir Tradisional di Kampung Sentosa, Pangkalan Nyireh dan Bengkel Seni Ukir Bakawali di Kampung Raja.


Pengukir-pengukir berkenaan menghasilkan ukiran-ukiran yang bermutu tinggi yang menghiasi pelbagai bangunan yang terdapat di istana berkenaan dalam usaha memuliharanya. Mereka yang berpengalaman dan berkemahiran luas juga memainkan peranan membantu memberikan sumbangan dalam melatih peserta-peserta yang mengikuti kursus yang ditawarkan di Desa Ukiran Kayu ini.


Nama Rumah Tradisional atau bangunan yang berada di Desa Ukiran Kayu:

1 ) Rumah Potong Belanda
2 ) Rumah Limas Bungkus
3 ) Rumah Bujang Berserambi Selasar


Kerajaan Negeri Terengganu juga ada menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000 setahun untuk penyeliaan pusat tersebut dan pembayaran elaun kepada pelatih. Pelatih Kursus Seni Ukiran Warisan Kraf Melayu Tradisional akan menerima elaun perbelanjaan sebanyak RM400 sebulan sepanjang mereka mengikuti kursus ini. Jika mereka memilih untuk bekerja, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyediakan bantuan modal berjumlah RM50,000 untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long
PA1043, Pusat Kraf Jalan Tengku Long,
Kg. Raja, 22200 Besut,
Terengganu.
Tel: 09-6954823, 09-6953823
Faks: 09-6958823
Emel: vanyilla@yahoo.com, harimau_malaya23@yahoo.com

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts