▼
Saturday, September 4, 2010
Pulau Perhentian
Pulau Perhentian yang bermaksud ‘Pulau Laluan Hentian’ terbahagi kepada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20km) ke Timur Laut Kuala Besut, Besut. Keluasan keseluruhan Pulau Perhentian adalah 1,392.15 hektar.
Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing dimana boleh mencapai setinggi 70km hingga 300km. Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesies pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu.
Pulau Perhentian adalah salah satu pulau di dunia yang sangat indah dan cantik, menurut Lonely Planet iaitu sebuah firma panduan pelancong terbesar di dunia. Kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk Dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau Perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur.
Air yang membiru, pasir yang memutih, pengalaman merentas denai hutan yang menyeronokkan, menyelam dan aktiviti kesukaan ramai iaitu berjemur di bawah sinaran matahari hanyalah antara beberapa aktiviti yang boleh dialami dan dirasai di Pulau Perhentian. Ini kerana banyak lagi yang boleh diterokai di Pulau Perhentian sehingga melayakkannya tersenarai di tangga kelima untuk ‘Best Beach To Swing A Hammock’ dalam 1,000 Ultimate Experiences 2010.
Antara kedua-dua pulau, Pulau Perhentian Kecil amat sesuai dengan ‘backpackers’ di mana mereka akan menemui pelbagai pakej menarik yang sesuai dengan bajet terutama untuk penginapan dan makanan. Pulau Perhentian Besar pula lebih menawarkan penginapan dan kemudahan yang mewah. Terdapat lebih kurang 1,000 buah bilik penginapan dari 42 buah pengusaha chalet dan resort dalam pelbagai kategori termasuk pusat peranginan mewah, chalet bertaraf sederhana dan rendah, bilik serta kawasan perkhemahan dengan kadar sewa antara RM 50 hingga RM 300 sehari.
Terletak berdekatan dengan Taman Laut Pulau Redang, Pulau Perhentian mempunyai Terumbu Batu Karang yang cukup cantik dan menjanjikan pemandangan mempesona yang sesuai untuk aktiviti ‘snorkeling’ serta selam skuba. Laut di sekitar pulau pula terdapat Batu Karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Mengikut kajian yang dijalankan, lima puluh spesies Batu Karang telah ditemui di sekitar Pulau Perhentian. Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis Batu Karang lagi di setiap 200 meter persegi kawasan laut.
Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar bertelur iatu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil dan juga di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu di Pulau Perhentian Besar.
Terdapat juga spesies Burung Layang-Layang (Walet) yang membuat sarang burung di gua-gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya.
Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti mengelilingi pulau atau menyewa bot kecil untuk meneroka Teluk Swasta yang cantik memukau. Kunjungan anda ke sini pasti memberi pengalaman yang cukup bermakna dan meninggalkan 1001 kenangan indah dalam hidup anda.
Bagaimana untuk ke Pulau Perhentian.
Pengunjung boleh menaiki bot di Jeti Kuala Besut atau Jeti Tok Bali untuk ke Pulau Perhentian. Dari Jeti Kuala Besut, anda boleh memilih untuk menyewa bot biasa atau bot laju. Dengan bot laju, perjalanan ke Pulau Perhentian hanya mengambil masa 30 minit, sementara menggunakan bot biasa perjalanan akan mengambil masa lebih lama. Dari Jeti Tok Bali di Kelantan, perjalanan ke Pulau Perhentian mengambil masa kira-kira 45 minit.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.