-->
Booking.com

Friday, July 16, 2010

Bukit Keledang


Bukit Keledang, Terengganu merupakan sebuah bukit kecil yng terletak di pinggir Bandar Kuala Terengganu. Bukit Keledang kini menjadi ikon pelancongan baru negeri Terengganu apabila Jabatan Warisan Negara mewartakan kawasan Bukit Keledang sebagai salah satu tapak warisan bersejarah.


Bukit Keledang yang pernah menjadi pengkalan bagi pedagang memunggah hasil dari Hulu Sungai Terengganu pada abad ke-18, kini di bawah penyeliaan dan jagaan Jabatan Warisan Negara dan juga Muzium Negeri Terengganu.


Di atas Bukit Keledang, terdapat beberapa pusara lama yang dipercayai adalah Makam DiRaja pemerintah awal Terengganu.

Ini ialah kerana Bukit Keledang ini pernah menjadi tapak asal istana Sultan Terengganu pertama, iaitu Sultan Zainal Abidin I (1708-1733M) yang mendirikan sebuah istana dan sebuah kota yang dikenali sebagai Kota Lama.

Di kota inilah Sultan Zainal Abidin 1 menjalankan urusan pentadbiran negeri sehingga baginda mangkat dan jenazahnya turut dimakamkan di atas bukit itu.

Makam jenazah Nang Zainab (Cik Puan Besar), isteri Sultan Zainal Abidin II, pembesar dan kaum kerabat diraja yang lain juga disemadikan di Bukit Keledang.




Sultan Zainal Abidin 1 (1708-1733)


Pengasas Kesultanan Terengganu hari ini ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana). Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk (Raja Tua) di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta Kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.

Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu di sekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1. Baginda tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama). Sultan Zainal Abidin 1 digantikan oleh Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts