-->
Very Limited ! Done For You - Dropshipping ECommerce Website + FB Store..Affordable Pricing...Sms/WhatsApp 019-9932023..

Tuesday, August 31, 2010

Pulau Tenggol


Pulau Tenggol terletak di Laut Cina Selatan berdekatan Dungun. Ia adalah sebuah pulau di pesisir pantai Terengganu yang cukup istimewa untuk dikunjungi. Jika diperhatikan, Pulau Tenggol ini mempunyai satu kawasan sahaja yang berpantai iaitu bahagian yang menghadap Tanah Besar. Selain dari itu hanya tebing batu.


Ia terdiri dari beberapa buah pulau kecil yang menjadi syurga penyelam skuba untuk melihat kehidupan marin dengan dekat. Seperti juga Pulau Redang, Pulau Tenggol ialah sebuah Taman Marin yang diwartakan.


Selaman skuba dan snorkeling ialah antara aktiviti utama di Pulau Tenggol. Antara hidupan laut yang boleh dilihat di sini ialah Karang Lembut (soft coral), Nudibranch, Seaweed, Batfish, Penyu Laut, Napoleon Wrash, Clownfish (nemo fish) dan Jerung Paus.

Tempat-tempat selaman yang mesti dilawati sekiranya anda ke sini ialah Teluk Air Tawar, Rajawali, Tokong Batu, Tokong Timur dan Tanjung Gemuk.


Penginapan

Jika anda merancang bermalam di Pulau Tenggol, di sini terdapat sebuah resort iaitu Tenggol Island Resort (Tenggol Aqua Resort) yang terletak di Telok Air Tawar. Sila rujuk laman web untuk kadar sewa. Peralatan skuba juga boleh disewa di sini.

Untuk penginapan di Bandar Dungun, sila rujuk di sini.


Bagaimana nak ke sini?

Dari jeti Kuala Dungun, anda perlu menyewa bot laju untuk sampai ke Pulau Tenggol Untuk tujuan selaman skuba, kadar sewa yang dikenakan dari RM600-700 untuk sebuah bot sehari (maksimum 6 orang).

Perjalanan dengan bot laju mengambil masa 40 minit. Sekiranya anda ke sana dengan bot nelayan biasa, perjalanan akan mengambil masa kira-kira 2 jam.

Bilakah waktu sesuai nak ke sini?


Elakkan datang ke sini dari bulan November hingga March kerana Musim Tengkujuh yang melanda Pantai Timur. Di waktu ini, tiada aktiviti sukan air dan sesetengah resort mungkin ditutup.

Monday, August 30, 2010

Sungai Loh


Sungai Loh terletak kira-kira 3 km dari Kampung Kuala Jengai. Antara aktiviti yang sering diadakan di Sungai Loh ialah berkhemah, meredah arus deras dan kembara pacuan 4 roda. Tapak perkhemahan di Sungai Loh sering menjadi tumpuan terutama semasa cuti persekolahan.


Aktiviti meredah arus deras juga sering diadakan di Sungai Loh ini. Jarak untuk aktiviti meredah arus deras ini ialah 6 km. Dikatakan Sungai Loh ini adalah yang kedua terbaik selepas Sungai Singor bgi aktiviti meredah arus deras ini.


Bagi mereka yang gemar memancing antara spesies ikan yang terdapat di Sungai Loh ini ialah Ikan Kelah, Tengas, Sebarau dan Baung.

Untuk ke Sungai Loh ini dari Bandar Dungun, anda perlu melalui Jalan Bukit Besi.

Pusat Santuari Penyu Rantau Abang


Pusat Santuari Penyu ini terletak di Rantau Abang, Dungun. Di Pusat Santuari Penyu, pelancong boleh melihat dan mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur. Majlis Penasihat Santuari Penyu Negeri Terengganu bertanggungjawab bagi segala bentuk perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan penyu di Negeri Terengganu Darul Iman.


Mengikut statistik, Pusat Penerangan Penyu telah dikunjungi seramai 8,116 orang pada tahun 2008. Manakala pada tahun lepas seramai 9,979 pelancong melawat pusat penerangan itu iaitu 8,959 pelawat tempatan dan 1,020 pelawat luar negara.


Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah pendaratan Penyu Belimbing di Pantai Rantau Abang semakin menurun dari tahun ke tahun di mana pada tahun 2003, sebanyak 14 pendaratan dilakukan manakala pada 2004 (5), 2005 (1), 2006 (5) dan tiada pendaratan pada 2007.

Namun sehingga Jun 2008, terdapat dua pendaratan dilakukan Penyu Belimbing di pantai tersebut. Manakala bagi Penyu Agar pula, jumlah pendaratan pada 2003 adalah 1,479, 2004 (2,118), 2005 (1,037), 2006 (2,371) dan 2007 (2,047).

Jumlah pendaratan Penyu Karah juga semakin berkurangan iaitu 2003 (6), 2004 (9), 2005 (8), 2006 (4) dan 2007 (18), manakala tiada langsung pendaratan Penyu Lipas dari tahun 2003 hingga 2007. Melihat kepada rekod jabatan itu mengenai jumlah pendaratan penyu di negeri itu sahaja sudah mampu mencetuskan perasaan resah bahawa haiwan itu sedang mengalami ancaman kepupusan yang kritikal.


Bagaimana Untuk Ke Rantau Abang....

Sekiranya anda ingin ke Rantau Abang dari Kuala Terengganu, anda boleh menaiki bas ke Dungun dari Hentian Bas MBKT. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit dari Bandar Kuala Terengganu. Sekiranya anda dari Bandar Dungun, anda boleh menaiki bas ke Kuala Terengganu dari Hentian Bas di Dungun. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit dari Bandar Dungun.

Anda juga boleh datang ke Rantau Abang dengan teksi. Sila rujuk senarai Perhentian Teksi di Kuala Terengganu. Jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Rantau Abang ialah 62km.

Dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan. Cari arah perjalanan ke Kuala Terengganu atau Kemaman. Selepas tiba di Kemaman, cari arah papan tanda untuk ke Dungun. Jarak perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Rantau Abang ialah lebih kurang 420 km.

Sekiranya anda dari Pulau Pinang, anda boleh menggunakan Lebuhraya Timur-Barat menghala ke Kota Bharu. Dari Kota Bharu, anda perlu mencari arah perjalanan ke Besut dan seterusnya ke Kuala Terengganu. Jarak perjalanan dari Pulau Pinang ke Rantau Abang ialah lebih kurang 892km.

Dari Johor, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar di Plaza Tol Yong Peng. Dari Yong Peng, ambil lebuh raya ke Labis dan Segamat. Dari Segamat, anda boleh menuju ke Kuantan, Kemaman dan seterusnya Dungun.


Info Penyu

Pengenalan

Penyu telah wujud sejak lebih 100 juta tahun yang lalu yang dipercayai sezaman dengan zaman dinasour. Ianya adalah haiwan vertebrata dalam kelas reptilia di bawah Order Chelonia yang tergolong bersama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik, bernafas melalui paru-paru, suhu badan yang sama dengan suhu persekitaran, bertelur dan adalah haiwan marin.

Walaupun ia boleh menyelam dan berada dalam air untuk sekian lama, tetapi ia mestilah timbul kepermukaan air untuk bernafas. Penyu merupakan spesies yang hidup lama dan mengambil masa di antara 20 hingga 50 tahun untuk matang mengikut spesies. Kini ke empat-empat spesies penyu ini sedang terancam dan besar kemungkinan akan mengalami kepupusan.


Kitaran Hidup

Penyu pada amnya mempunyai satu kitaran hayat yang sama. Penyu Betina akan mengawan dengan Penyu Jantan di laut sebelum naik bertelur ke pantai. Penyu Betina akan mendarat di pantai pada waktu malam untuk bertelur. Tempoh masa bertelur adalah berbeza mengikut jenis penyu, kebiasaanya adalah 1–3 jam. Selepas musim bertelur, penyu itu akan berhijrah ke kawasan makan asalnya yang jauh. Seekor Penyu Betina boleh bertelur di antara 4-6 kali di sepanjang musim bertelur. Biasanya selang masa di antara satu masa peneluran dengan yang lain ialah 8–15 hari bergantung kepada jenis penyu. Kemudian selepas 2-8 tahun, penyu-penyu tadi akan berhijrah semula untuk bertelur di pantai yang sama tempat ia bertelur. Kebanyakan Penyu Betina tidak bertelur dua tahun berturut-turut. Telur yang dihasil akan ditinggalkan dan tidak dijaga.


Tempoh pengeraman dan jantina anak-anak penyu adalah dipengaruhi oleh suhu pasir di mana suhu yang panas (30°C ke atas) akan menghasilkan anak Penyu Betina dan suhu sejuk (26–278°C) menghasilkan anak Penyu Jantan. Telur penyu akan menetas dalam tempoh 2 bulan dan bergantung kepada jenis penyu dan suhu pengeraman. Anak-anak penyu yang menetas akan keluar dari sarang pada waktu malam dan terus menuju ke laut mengikut cahaya bulan. Pada peringkat ini, anak-anak penyu dikatakan mengalami proses “imprinting” yang membolehkan anak penyu tersebut kembali semula ke pantai tempat kelahirannya apabila dewasa kelak.


Ada ahli saintis meramalkan sebanyak 1,000 hingga 10,000 telur diperlukan untuk mendapatkan seekor Penyu Betina atau seekor Penyu Jantan dewasa yang berjaya mencapai ke peringkat dewasa dalam masa 20 hingga 50 tahun.

Jenis-Jenis Penyu

Penyu Belimbing

Penyu Belimbing ialah spesies penyu yang terbesar di antara jenis-jenis penyu yang terdapat di dunia. Kini spesies penyu ini semakin pupus. Inilah satu-satunya jenis penyu yang tidak bertempurung keras, di mana karapasnya (cengkerang) adalah lembut dengan mempunyai tujuh jaluran panjang yang memanjang dari bahagian kepala hingga ke ekor. Ia boleh membesar sepanjang 2 meter dan mencapai berat sehingga 600 kg. Penyu ini menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di dalam laut lepas dan berkebolehan untuk menyelam sedalam 400 m hingga 1,200 m.


Penyu ini mudah dikenali kerana cengkerangnya yang menyerupai seperti buah belimbing. Warna badannya adalah kehitaman dan bertompok-tompok putih. Bahagian atas mulutnya yang melengkung adalah untuk memudahkannya menangkap obor-obor yang merupakan makanan utamanya. Ianya menghasilkan telur antara 60–120 biji pada suatu masa. Musim bertelurnya adalah Mac hingga Ogos. Di Malaysia, tempat utama penyu ini naik ke pantai untuk bertelur adalah di Rantau Abang, Terengganu dan terdapat juga di Paka dan di Pahang. Telurnya berwarna putih dan berkulit lembut dengan ukuran garis pusat 5–6.5 sm.

Penyu Agar

Penyu Agar juga dikenali sebagai “penyu hijau" mengikut warna lemak dalam badannya yang berwarna hijau. Warna penyu ini adalah coklat buah zaitun atau coklat tua atau kehitaman. Penyu ini boleh membesar sehingga lebih 1 meter dengan berat badannya di antara 135–270 kg. Makanan utamanya adalah rumpai laut dan rumpair. Musim bertelurnya adalah di antara April–September dan menghasilkan 100–140 biji setiap kali bertelur. Penyu ini terdapat di Negeri Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dan berkulit lembut dengan ukuran garis pusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Karah / Sisik


Penyu ini juga dikenali sebagai Penyu Sisik. Ianya mempunyai karapas yang keras dan nampak seperti sisik-sisik yang bertindih. Warna badannya adalah coklat, bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 70–90 sm dengan berat badannya di antara 35–75 kg. Bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang. Makanan utamanya adalah span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan Terumbu Karang.

Spesies penyu ini kebanyakannnya terdapat di kawasan Terumbu Karang. Musim bertelurnya adalah Mac–Jun dengan purata bertelur sehingga 130 biji. Penyu ini terdapat di negeri Terengganu, Pahang, Melaka , Johor, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dengan kulit yang lembut dan berukuran garis pusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Lipas

Penyu Lipas adalah penyu yang terkecil di antara empat jenis penyu yang terdapat di Malaysia. Ianya boleh membesar sehingga 6.0–6.5 sm dengan berat yang biasanya di antara 35–50 kg. Warna badannya adalah gelap atau coklat buah zaitun dan bahagian bawahnya berwarna putih. Makanan utamanya adalah udang, obor-obor, ketam dan siput. Musim bertelurnya adalah dari Mac–Jun dan menghasilkan purata telur 100 biji setiap kali bertelur. Telurnya adalah berwarna putih, berkulit lembut dan bergaris pusat lebih kurang 4.0 sm. Penyu ini terdapat di Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. Kini bilangan spesies penyu ini yang mendarat untuk bertelur di pantai-pantai Malaysia adalah semakin berkurangan dan diancam kepupusan.

Sunday, August 29, 2010

Pantai Teluk Bidara


Pantai Teluk Bidara terletak di Kampung Seberang Pintasan, Dungun. Ia merupakan antara pantai yang tercantik di Negeri Terengganu. Lokasi Pantai Teluk Bidara ini ialah berhampiran dengan Tanjong Jara Beach Resort.


Sekiranya anda dari Kuala Terengganu, Hotel Tanjong Jara Beach Resort boleh menjadi panduan perjalanan anda sekiranya anda ingin berkunjung ke pantai ini.


Pantai Teluk Bidara ini menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong terutama pada hujung minggu dan hari cuti. Selain air yang jernih, di sini juga terdapat kawasan batu batan dan gua kecil bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak. Selain dari itu, pondok-pondok rehat dan gerai makan juga banyak terdapat di pantai ini.

Friday, August 27, 2010

Tasik Puteri Bukit Besi


Tasik Puteri atau dulunya lebih dikenali dengan nama Tasik Bukit Besi terletak kira-kira 3 km dari Bandar Bukit Besi. Perjalanan dari Bandar Dungun mengambil masa selama 30 minit dengan jarak perjalanan ialah 33 km. Sekiranya anda datang dari arah Bandar Kuala Terengganu, jarak Tasik Puteri dengan Bandar Kuala Terengganu ialah kira-kira 77 km dan mengambil masa selama 1 jam untuk ke sini.


Tasik Puteri yang mempunyai keluasan 131 ha merupakan kawasan bersejarah dengan kawasan tinggalan lombong bijih besi yang merupakan lombong bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara pada suatu masa dulu. Ia adalah tasik buatan yang terbentuk dari Sungai Besul yang disekat dan menghasilkan takungan air. Sumber air inilah yang digunakan bagi menjalankan aktiviti membersih bijih besi.


Tasik Puteri kini merupakan produk pelancongan yang sedang diberi tumpuan oleh KETENGAH untuk dimajukan. Tasik yang tenang dan keindahan alam sekitar menjadikan Tasik Puteri ini amat sesuai untuk mereka berehat bersama keluarga pada hari minggu.


Perkhidmatan Rekreasi Air

Perkhidmatan Rekreasi Air di Tasik Puteri dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 6.30 petang. Antara yang disediakan untuk disewa ialah Bot Kayuh (paddle boat), Bot Laju (speed boat) dan Kayak.

Kadar sewa adalah seperti berikut:

Bot Kayuh (Paddle Boat)
= RM 4.50 – ½ jam

Bot Laju + Pemandu (Speed Boat)
= Dewasa RM4.00 , Kanak-kanak RM4.00 untuk 3 orang

Kayak
= RM 3.00 untuk 2 orang selama ½ jam

Di sini juga terdapat Air Terjun Tasik Puteri bagi mereka yang gemar berkelah sambil mandi-manda. Taman permainan juga disediakan bagi kanak-kanak bermain. Selain itu, terdapat tapak perkhemahan, gerai makan, surau dan tandas awam untuk kemudahan kepada mereka yang berkunjung ke sini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Bahagian Pelancongan & Pembangunan Tasik Kenyir,
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah,
Karung Berkunci No. 3,
23409 Al-Mukhtafi Billah Shah,
Dungun, Terengganu.

Bagaimana untuk ke Tasik Puteri, Bukit Besi?

Pengunjung dari Kuala Lumpur yang memandu sendiri boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan masuk ke Jalan Jerangau-Jabor sebelum menuju ke Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Dungun.

Hutan Lipur Tanjung Gadong


Hutan Lipur Tanjung Gadong terletak di Daerah Dungun. Berhampiran dengan UITM Dungun, Hutan Lipur Tanjung Gadong ini mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit Pantai yang kaya dengan spesies Meranti dan Balau Pasir.


Jarak Hutan Lipur Tanjung Gadong ini ialah kira-kira 11 km dari Bandar Dungun melalui Jalanraya Dungun-Kuala Terengganu dan 78 km dari Kuala Terengganu. Sekiranya anda ingin berkunjung ke sini, panduan perjalanan yang mudah bagi anda ialah UITM Dungun. Untuk ke Hutan Lipur Tanjung Gadong, pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi dari Bandar Dungun.


Hutan Lipur Tanjung Gadong terletak di persisiran pantai Laut China Selatan sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan merentas denai hutan. Di sini juga pengunjung boleh bersiar-siar dan melihat hidupan liar. Selain itu, pengunjung yang datang ke sini juga boleh menggunakan kemudahan jeti memancing yang turut disediakan. Beberapa kemudahan seperti wakaf, pondok rehat dan bangku rehat juga disediakan di Hutan Lipur Tanjung Gadong. Gerai makan juga banyak terdapat di kawasan tepi pantai.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan
23000 Dungun,Terengganu.
Tel: 09-8441404

Wednesday, August 25, 2010

Pantai Teluk Lipat


Pantai Teluk Lipat merupakan sebuah pantai yang amat menarik untuk dikunjungi bagi mereka yang gemar memancing. Pantai Teluk Lipat ini juga sering dipilih menjadi lokasi Pertandingan Memancing Gp Joran yang dianjurkan Berita Harian dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.


Pengunjung yang berkunjung ke sini juga boleh memilih untuk berehat di tepi pantai sambil berkelah atau menikmati pelbagai jenis makanan termasuk keropok yang dijual di gerai-gerai sepanjang pantai ini.


Di Pantai Teluk Lipat ini juga pengunjung boleh melihat kesan peninggalan sejarah iaitu sebuah jeti yang digunakan sewaktu zaman perlombongan bijih di Bukit Besi suatu ketika dahulu.


Kemudahan penginapan juga banyak terdapat di sepanjang Pantai Teluk Lipat ini. Pantai ini juga sering menjadi tumpuan para pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Tempatan untuk berehat sambil menenangkan fikiran pada hari minggu.

Pantai Tanjung Jara


Pantai Tanjung Jara merupakan sebuah pantai yang amat cantik dan menarik. Pantai ini terletak di Daerah Dungun dan berhampiran dengan Pantai Teluk Bidara, Pantai Rantau Abang dan Pantai Batu Pelanduk.


Pantai Tanjung Jara ini mempunyai kawasan pasir halus keemasan yang menarik. Disamping menikmati hembusan bayu laut, pengunjung yang datang ke sini juga berpeluang untuk melakukan aktiviti seperti luncur air, menaiki bot, berkayak, menyelam dan pelbagai sukan air yang lain.

Sila rujuk senarai hotel & tempat penginapan Di Dungun sekiranya anda memerlukan tempat penginapan bila berkunjung ke sini.


Bagaimana Untuk Ke Pantai Tanjung Jara

Sekiranya anda menaiki bas ekspress, sila dapatkan tiket bas dari Kuala Lumpur ke Dungun. Antara syarikat bas yang membuat perjalanan terus ke Dungun ialah Syarikat Bas Utama Ekspres. Dari Hentian Bas Ekspres Dungun, anda boleh menaiki teksi untuk ke Pantai Tanjung Jara.

Anda juga boleh memandu dari Kuala Lumpur dengan menggunakan kenderaan sendiri. Anda perlu menggunakan Lebuhraya Pantai Timur ke arah Kuantan. Setelah tiba di Kuantan, cari arah perjalanan ke Terengganu, Kemaman atau Dungun.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk ke sini menggunakan pengangkutan udara, Sistem Penerbangan Malaysia dan Air Asia ada menyediakan penerbangan ke Kuala Terengganu setiap hari. Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, ambil teksi untuk ke Dungun.

Talian Untuk Dihubungi

Pusat Maklumat Pelancongan Terengganu
Tel: 09-6221553

Monday, August 23, 2010

Taman Tasik Tanjung Sura


Taman Tasik Tanjung Sura dibina di atas tapak seluas 0.8 hektar di tebing Sungai Dungun dengan kos RM 1.7 Juta. Lokasi Taman Tasik Tanjung Sura ini ialah berhampiran dengan UITM Terengganu Cawangan Dungun.


Selain memberi keselesaan kepada penduduk setempat termasuk pelajar UITM Terengganu Cawangan Dungun yang sering melalui kawasan ini, Taman Tasik Tanjung Sura ini sebenarnya berpontensi untuk muncul sebagai produk pelancongan berasaskan alam semulajadi.


Antara kemudahan yang disediakan di Taman Tasik Tanjung Sura ini ialah trek berjoging, pondok rehat, jeti, ruang niaga, tandas awam, bilik persalinan, lampu limpah dan peralatan permainan untuk kanak-kanak.







Sunday, August 22, 2010

Bukit Besi


Bukit Besi merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di dalam Daerah Dungun. Jarak perjalanan untuk ke Bukit Besi ialah 33 km dari Bandar Dungun dan 77 km dari Bandar Kuala Terengganu.

Bagaimana Bukit Besi mendapat nama?

Ada pendapat menyatakan, ceritanya bermula dengan penemuan beberapa orang penduduk setempat yang masuk ke hutan untuk mencari rotan. Ketika dalam perjalanan, mereka berhenti rehat dan ingin menikmati bekal yang dibawa. Salah seorang daripada mereka ternampak seketul batu sederhana besar dan sesuai dijadikan lapik duduk. Beliau lalu mengambil keputusan untuk mengangkat batu tersebut. Walau bagaimanapun, niatnya terpaksa dibatalkan apabila batu tersebut ternyata sangat berat. Ada yang cuba untuk mengangkat batu tersebut namun tetap juga gagal. Maka salah seorang daripada mereka mencadangkan menamakan tempat tersebut dengan nama Bukit Besi dan ia kekal sehingga ke hari ini.(Sumber: Buku Sejarah Bukit Besi)


Bukit Besi menjadi terkenal kerana pernah menjadi tempat perlombongan bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara. Perkembangan perusahaan perlombongan di Bukit Besi ini seiring dengan pertumbuhan perusahaan keluli di Jepun. Nippon Mining Company merupakan syarikat Jepun yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja perlombongan bijih besi di sini. Hasil dari kerja-kerja perlombongan ini dibawa keluar dari Bukit Besi menggunakan keretapi yang menghubungkan Bukit Besi dan Jeti Sura, Dungun. Dari Jeti Sura inilah hasil perlombongan bijih ini dieksport ke Jepun.


Lombong ini telah ditutup pada tahun 1971 berikutan bijih besi di sini telah habis dilombong oleh Syarikat Nippon Mining Company (Nippon Kogyo).

Sejarah Bukit Besi

1916

Ahli kajibumi Jepun, Mr. Kuhara datang ke Dungun membuat kajian di Konsesi Chemuak, Ulu Dungun dan mendapati kawasan tersebut mengandungi bijih besi dalam jumlah yang banyak.

1927an

Syarikat Kuhara Mining Ltd. menjalankan aktiviti perlombongan secara tidak rasmi. Syarikat ini kemudiannya telah ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).

1929

13 Januari - Kerajaan Terengganu mengeluarkan 'mining lease' secara rasmi kepada NMC. Kawasan seluas 1,080 ek. ini terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132, iaitu pecahan daripada M.L. 75, kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini, Tengku Abu Bakar pernah memberi kebenaran kepada Wong Sin, seorang pengusaha lombong untuk membuka lombong bijih timah di situ, tetapi tidak begitu berjaya. Apabila NMC mengakui kawasan tersebut mengandungi bijih besi, Wong Sin telah menjual hak melombong di situ kepada NMC pada bulan Oktober 1917 dengan bayaran sebanyak $50,000.00.

Menurut kenyataan Encik Abdullah Awang, yang ditemuramah di rumahnya di Kemaman oleh Encik Mohd. Hairon Yasar pada 30 September 1975: Beberapa orang penduduk tempatan telah bercerita bahawa seorang pencari rotan telah menjumpai seketul batu yang berat menyerupai besi. Sebenarnya di kawasan itu usaha melombong pernah dijalankan pada tahun 1910 tetapi gagal kerana kawasan tersebut tidak mengandungi bijih timah, sebaliknya cuma terdapat haomatait sahaja.


1930

Pengurus lombong pertama, R.Kunada telah memulakan tugasnya pada bulan April 1930. Dalam tahun tersebut juga laluan keretapi Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che Lijah. Beberapa tahun kemudian, pihak NMC terpaksa memberhentikan beberapa pekerja akibat kurangnya permintaan daripada syarikat-syarikat keluli di Jepun.

1934

Keadaan pulih semula. Para pekerja yang telah diberhentikan, diambil bekerja semula, malah ditambah dengan pekerja-pekerja baru. Permintaan yang berterusan daripada syarikat-syarikat keluli di Jepun telah mendorong pihak syarikat meningkatkan pengeluaran.

1935

Jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja).


1936

Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk telah dapat disiapkan. Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong.


Para pekerja perlombongan di Bukit Besi ini terdiri daripada pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India dan Jepun.

1938

Peperangan antara China dengan Jepun - menyebabkan pekerja-pekerja Cina berhenti beramai-ramai, akibat daripada hasutan dan sentimen anti Jepun. Ini menyebabkan syarikat perlombongan hampir lumpuh. Pihak pengurusan syarikat terpaksa mengambil pekerja-pekerja baru, sebahagian daripadanya diimport terus daripada India.

1945

Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Perusahaan perlombongan bijih besi oleh NMC berakhir.

1946 – 1949

Darurat. Aktiviti perlombongan terhenti kerana tiada permintaan.

1948

Ogos, kerajaan British memutuskan untuk menjual harta lombong Bukit Besi kepada Syarikat Eastern Mining and Metal Berhad (EMMCO).


Awal 1950an

EMMCO menjalankan aktiviti perlombongan secara besar-besaran, kesan daripada pemulihan peperangan dan permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat Jepun.
Pengeluaran bijih digandakan untuk mendapat keuntungan besar dalam masa yang singkat. Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. Kepala keretapi juga telah diganti dengan yang baru, ditempah dari England. Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Oleh itu tidak hairanlah jika pendapatan para pekerja perlombongan Bukit Besi ini menyamai atau lebih baik daripada para pekerja di jabatan kerajaan pada masa itu.
Pihak EMMCO juga telah mewujudkan banyak jabatan, seperti pejabat pos, pejabat ukur, pejabat kebajikan masyarakat dan sebagainya di zaman kegemilangan Bukit Besi.
Oleh kerana pengeluaran yang berterusan dengan jumlah yang besar, akhirnya bijih besi mula berkurangan dan akaun syarikat mula mencatatkan kerugian.

1970

1 Oktober - Mesyuarat Lembaga Pengarah EMMCO membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit besi.


1971

8 September - Sektor perlombongan bijih besi ditutup. Ini memberi kesan bukan sahaja kepada penduduk di Bukit Besi, tetapi juga kepada Bandar Dungun. Bagi memastikan Bandar Dungun terus hidup, Kerajaan Terengganu telah membina sebuah cawangan ITM di sana. Pihak KETENGAH pula telah merancang pembangunan semula Bandar Bukit Besi. Berbagai kemudahan awam dan perniagaan, telah diwujudkan.

Bukit Besi telah meninggalkan beberapa artifak sejarah yang menjadi aset penting dalam industri pelancongan. Artifek-artifek seperti chimney, stock pile, washing plant / tin plant, crushing plant, tempat menyimpan bahan letupan dan sebahagian daripada kuarters masih tersergam hingga ke hari ini, walaupun telah mengalami berbagai kerosakan. Tasik Puteri yang wujud hasil daripada perlombongan bijih besi di Bukit Besi ini sedang dimajukan oleh KETENGAH sebagai kawasan rekreasi yang menarik. Sebuah Galeri sejarah juga diwujudkan bagi tatapan generasi muda.


GALERI SEJARAH BUKIT BESI,
PEJABAT KETENGAH,
BANDAR BUKIT BESI,
DUNGUN, TERENGGANU DARUL IMAN.
TEL: 09-8337217/09-8337219
Laman Web: http://www.ketengah.gov.my

Popular Posts