-->
Very Limited ! Done For You - Dropshipping ECommerce Website + FB Store..Affordable Pricing...Sms/WhatsApp 019-9932023..

Sunday, July 18, 2010

Bazar Warisan


Bazar Warisan ini terletak berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang dan juga Bukit Puteri. Di sini terdapat kedai yang menjual barangan batik, songket dan kraf dalam pelbagai jenis corak dan warna yang menunjukkan nilai-nilai seni warisan Terengganu. Harga bergantung pada kualiti, corak dan warna. Anda juga perlu bijak tawar menawar harga apabila ingin membeli batik dengn harga yang berpatutan di sini.


Bazar Warisan yang dibina dengan kos RM 18.4 juta ini menyediakan 64 unit ruang niaga, lima tempat rehat, lif, mesin ATM, tangga bergerak dan ruang letak kereta bawah tanah.


Bazar Warisan dijangka bakal merubah wajah Bandar Kuala Terengganu. Ia akan menjadi satu lagi tarikan terbaru pelancong untuk berkunjung lebih kerap ke Terengganu. Sesuai dengan lokasinya yang berhadapan muara Sungai Terengganu dan ini bakal menjadikan Terengganu sebagai Bandaraya Pesisir Air terkemuka di negara ini.

Saturday, July 17, 2010

Istana Maziah


Istana Maziah adalah lambang kemegahan Institusi Kesultanan Terengganu. Istana Maziah yang terletak berhampiran Bukit Puteri dan berhadapan dengan Taman Shahbandar merupakan kediaman rasmi Sultan Terengganu. Di Istana Maziah inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri. Istana Maziah yang indah dan menarik ini merupakan istana bersejarah dan menjadi lambang kebesaran negeri Terengganu.


Terdapat sedikit percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Terdapat dua catatan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, 31 Mei 1895 (7 Zulhijjah 1312) pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), manakala catatan Dato' Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, Istana Maziah ini dibina pada tahun 1897.


Istana Maziah dibina dengan senibina Peranchis bagi menggantikan Istana Hijau yang terbakar. Istana Hijau dibina semasa pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac 1870 (7 Zulhijjah 1286). Tengku Chik Abu Bakar Bin Tengku Abdul Jalil yang merupakan saudara ipar Sultan Zainl Abidin III bertanggungjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera.

Beliau dibantu oleh Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah Bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad Bin Abdul Rahim dan juga Dato’ Mata-Mata. Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik pula ditugaskan untuk mendapatkan kayu, manakala batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.

Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir, garam, putih telur dan manisan. Kira-kira 20 orang tukang berbangsa Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan istana ini.

Upacara 'naik istana' diadakan pada 7 Ogos 1903 (14 Jamadil Awal 1321). Tidak berapa lama selepas itu, Tengku Embong Musa yang merupakan Ketua Jabatan Kerja Raya telah menambah lantai di bahagian anjung istana yang pada ketika itu di bawah anjung istana ini.

Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi di masa pemerintahan Sultan Nasiruddin Shah (1945-1979). Bilik di tingkat bawah terletak Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan Singgahsana dipindahkan di tingkat atas.

Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh. Selain itu bilik di tingkat sebelah atas matahari naik telah dirobohkan untuk ditempatkan Singgahsana.

Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana pula ditempatkan di tingkat atas bangunan baru istana ini. Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.


Selain menkmati keindahan binaan Istana Maziah dari luar pagar istana, anda juga boleh berehat di Medan Maziah yangg terletak bersebelahan dengan Istana Maziah.

Bukit Puteri


Bukit Puteri merupakan salah satu produk pelancongan yang amat menarik untuk dikunjungi jika anda ke Bandar Kuala Terengganu. Bukit Puteri bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong tempatan malah ramai pelancong luar yang telah datang ke sini.

Menurut sejarah, Bukit Puteri dibuka oleh ketua suku dari Johor bernama Tuk Raja Menteri yang datang ke Terengganu dengan tujuan hendak melantik Sultan Zainal Abidin I sebagai Sultan Terengganu pertama.


Bukit Puteri yang terletak di kawasan Bandar Kuala Terengganu dan berhampiran muara Sungai Terengganu merupakan sebuah bukit yang unik, menyimpan banyak sejarah dan misteri.

Lokasi Bukit Puteri ialah bersebelahan dengan Istana Maziah, berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Bazar Warisan dan Taman Shahbandar di Kuala Terengganu. Keluasan kawasan Bukit Puteri ialah 0.688 Hektar.


Pelbagai peninggalan sejarah masih jelas dapat dilihat di Bukit Puteri ini antaranya Singgahsana sementara, tempat simpanan bedil dan meriam, Genta (loceng besar), Meriam Beranak, tiang bendera dan Rumah Api.

Malah pelancong juga dapat melihat sendiri kubu pertahanan yang dibina dengan menggunakan pasir, putih telur, kapur, kulit kerang dan madu lebah yang masih lagi kukuh walaupun telah berusia hampir sedekad yang lalu.


Bukit yang berusia 173 tahun dan mempunyai ketinggian 200m dari aras laut ini mula dikenali apabila Sultan Baginda Omar menjadikan Bukit Puteri sebagai benteng pertahanan pada tahun 1831.

Perang Saudara ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II (1831-1836), Sultan Muhamad I (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876). Sebagai kubu pertahanan, beberapa unit meriam dan loceng (Genta) ditempatkan di atas Bukit Puteri.


Meriam-meriam yang ada di sini terdiri daripada pelbagai jenis buatan seperti dari Sepanyol, Portugis dan juga meriam buatan dari Tanah Melayu. Meriam-meriam ini diberikan nama yang berlainan seperti Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamior dan Laila Majnun. Apa yang menarik perhatian mengenai meriam-meriam ini ialah tentang 'Seri Bueh' atau lebih dikenali dengan nama `Meriam Beranak’.

Ini adalah kerana kedudukan meriam ini yang seolah-olah mempunyai hubungan, di mana terdapat sepucuk meriam besar yang menjadi 'ibu' kepada sepucuk meriam kecil disisinya. Oleh kerana saiz dan keadaan kedua-dua pucuk meriam ini lebih mirip kepada 'ibu dan anak' maka dengan itu ianya lebih termasyhur dengan panggilan Meriam Beranak.


Di atas Bukit Puteri juga terdapat sebuah loceng besar atau dikenali sebagai Genta. Genta pertama yang terdapat di atas bukit ini dikatakan dibuat pada pada zaman pemerintahan Sultan Omar (Sultan Terengganu yang ke-9) pada 15 Mei 1853 (17 Syaaban 1270H).

Genta pertama ini telah dinamakan 'Negara'. Adalah dipercayai loceng atau Genta yang ada kini dibina pada tahun 1908 (1326H) semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Genta yang beratnya 175 kilogram ini diperbuat daripada tembaga kuning oleh seorang tukang bernama Wan Ali Bin Wan Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang lain dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu.

Loceng besar atau Genta ini digunakan untuk sesuatu majlis atau untuk memberitahu rakyat sekiranya ada musuh datang menyerang. Ini membolehkan rakyat bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Genta ini akan digantikan sekiranya berlaku sebarang kerosakan. Kini genta ini telah ditempatkan di dalam sebuah pondok berjaring dikenali sebagai Pondok Genta.

Di Bukit Puteri juga terdapat tiang bendera yang digunakan sekiranya ada majlis atau istiadat kebesaran. Pada 22 April 1899, ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, satu majlis dengan tembakan meriam sebanyak 16 das telah diadakan semasa upacara menanam tiang dilakukan.

Tiang bendera ini mempunyai ketinggian 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter. Bagaimanapun, tiang yang ada sekarang ini bukanlah tiang bendera yang asal tetapi yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942).


Selain dari meriam, loceng besar(Genta) dan tiang bendera, terdapat pelbagai lagi tinggalan sejarah yang ada di Bukit Puteri ini seperti Gua Puteri, kubur lama dan Rumah Api. Gua Puteri ini dikatakan tempat menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu. Di sebelah atasnya terdapat kesan-kesan sebuah Singgahsana raja.

Di salah satu kawasan hujung bukit pula terdapat satu kawasan yang dipercayai sebagai kawasan perkuburan lama. Rumah Api yang terletak di puncak Bukit Puteri ini pula menjadi panduan bagi nelayan dan pelayar untuk ke Kuala Sungai Terengganu.


Terdapat juga cerita dan kisah menarik dari penduduk kampung mengenai Bukit Puteri. Antaranya Bukit Puteri ini dikatakan pernah menjadi kediaman Puteri Bunian. Pada masa itu, penduduk kampung sentiasa datang untuk meminjam peralatan seperti pinggan mangkuk untuk majlis perkahwinan atau majlis keramaian. Akibat tidak memulangkan kembali dan mengganti semula peralatan yang dipinjam, Tuan Puteri telah merajuk dan melarikan diri dari Bukit Puteri.


Bukit Puteri kini diletakkan dibawah jagaan Muzium Negeri Terengganu dan menjadi aset pelancongan penting bagi negeri Terengganu. Bayaran masuk untuk mengunjungi Bukit Puteri itu ialah sebanyak RM 1.00 bagi orang dewasa dan RM 0.50 sen untuk kanak-kanak.

Ia dibuka setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang dan orang ramai akan dapat melihat keindahan bandar dan muara Sungai Terengganu dari atas bukit.

Friday, July 16, 2010

Bukit Keledang


Bukit Keledang, Terengganu merupakan sebuah bukit kecil yng terletak di pinggir Bandar Kuala Terengganu. Bukit Keledang kini menjadi ikon pelancongan baru negeri Terengganu apabila Jabatan Warisan Negara mewartakan kawasan Bukit Keledang sebagai salah satu tapak warisan bersejarah.


Bukit Keledang yang pernah menjadi pengkalan bagi pedagang memunggah hasil dari Hulu Sungai Terengganu pada abad ke-18, kini di bawah penyeliaan dan jagaan Jabatan Warisan Negara dan juga Muzium Negeri Terengganu.


Di atas Bukit Keledang, terdapat beberapa pusara lama yang dipercayai adalah Makam DiRaja pemerintah awal Terengganu.

Ini ialah kerana Bukit Keledang ini pernah menjadi tapak asal istana Sultan Terengganu pertama, iaitu Sultan Zainal Abidin I (1708-1733M) yang mendirikan sebuah istana dan sebuah kota yang dikenali sebagai Kota Lama.

Di kota inilah Sultan Zainal Abidin 1 menjalankan urusan pentadbiran negeri sehingga baginda mangkat dan jenazahnya turut dimakamkan di atas bukit itu.

Makam jenazah Nang Zainab (Cik Puan Besar), isteri Sultan Zainal Abidin II, pembesar dan kaum kerabat diraja yang lain juga disemadikan di Bukit Keledang.




Sultan Zainal Abidin 1 (1708-1733)


Pengasas Kesultanan Terengganu hari ini ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana). Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk (Raja Tua) di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta Kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.

Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu di sekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1. Baginda tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama). Sultan Zainal Abidin 1 digantikan oleh Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733.

Wednesday, July 14, 2010

Pantai Batu Rakit


Batu Rakit merupakan sebuah bandar kecil yang terletak kira-kira 15 km dari Bandar Kuala Terengganu. Batu Rakit mendapat namanya dari kewujudan batu yang berbentuk rakit yang terletak kira-kira 300 meter di tengah laut.


Batu Rakit dikenali kerana terdapat pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di sini seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato' Razali Ismail dan Institut Teknologi Petronas Batu Rakit (INSTEP).


Walaupun tiada catatan rasmi mengenai tarikh sebenar pembukaan, penempatan di Pantai Batu Rakit dipercayai teleh dibuka di awal 1800an oleh sekumpulan masyarakat yang menjalankan aktiviti menangkap ikan.


Antara makanan tempatan popular di Batu Rakit ialah Keropok Lekor. Pengunjung yang berkunjung ke sini boleh menikmati Keropok Lekor di kedai atau warung yang terdapat di kawasan ini. Pengunjung yang berkunjung ke Pantai Batu Rakit juga boleh menikmati makanan hasil laut yang yang segar.


Selain dapat melihat keindahan Pantai Batu Rakit, pengunjung yang datang ke sini juga dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan sebagai nelayan dan juga sekiranya bernasib baik pengunjung juga berpeluang untuk membeli hasil laut yang segar dengan harga yang berpatutan.

Pantai Teluk Ketapang




Pantai Teluk Ketapang merupakan salah satu pantai yang menjadi tarikan utama pelancong di Kuala Terengganu. Pantai yang terletak kira-kira 4 km dari Kampung Wakaf Tembesu dan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan luar kerana keadaan pantainya yang cantik dan bersih. Pengunjung yang datang ke sini boleh mengikuti aktiviti menunggang kuda, memancing dan bermain layang-layang.


Selain dari taman permainan, pondok rehat juga banyak disediakan untuk kemudahan pengunjung berehat & berkelah bersama keluarga. Selain keindahan pantai ini, pengunjung boleh menikmati ’sotong celup tepung’ yang popular di kawasan ini. Kemudahan rumah penginapan juga disediakan dengan kadar berpatutan untuk pengunjung yang ingin bermalam di kawasan pantai ini.

Tuesday, July 13, 2010

Pantai Batu Buruk


Pantai Batu Buruk terletak hanya 1 km dari pusat Bandar Kuala Terengganu. Pantai Batu Buruk merupakan antara pantai yang terkenal, bersih dan tercantik di Terengganu.

Sekiranya anda berkunjung ke sini pada hujung minggu, terdapat aktiviti pasar malam pada setiap hari Jumaat bermula jam 3.00 petang.


Disamping itu juga terdapat aktiviti bermain layang-layang, bolasepak pantai, bola tampar, sepak raga dan bola jaring di pantai. Untuk kanak-kanak ada disediakan tempat permainan khas berhampiran pantai.

Selain dari restoran makanan segera (KFC & A&W), pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisional seperti Nasi Dagang dan Keropok Lekor di pantai ini.

Pada hari Jumaat juga terdapat persembahan pentas dari pukul 5.00 hingga 6.30 petang di Pentas Budaya.

Monday, July 12, 2010

Taman Shahbandar


Taman Shahbandar terletak di bahagian timur Bandar Kuala Terengganu, berhampiran Istana Maziah dan Bukit Puteri. Pemandangan dan susunan landskap yang menarik menjadikan Taman Shahbandar sebuah taman tumpuan pelancong.


Di Taman Shahbandar ini terdapat sebuah jeti yang dinamakan Jeti Shahbandar. Di Jeti Shahbandar ini, pengunjung boleh manaiki bot untuk ke pulau berhampiran sperti Pulau Wan Man (Taman Tamadun Islam) dan Pulau Duyong. Pengunjung juga boleh menaiki bot untuk ke Pulau Redang dari Jeti Shahbandar.


Selain Jeti Shahbandar, antara kemudahan awam yang disediakan di Taman Shahbandar ini ialah pondok rehat, bangku khas, tandas awam dan laluan pejalan kaki. Taman Shahbandar ini juga diserikan dengan pelbagai jenis pokok bunga dan pokok besar.

Suasana nyaman walaupun pada waktu tengah hari menyebabkan ramai mengambil kesempatan menjadikannya tempat berehat.

Di tengah-tengah padang di Taman Shahbandar ini, terdapat sebuah jambatan dan kolam air yang dilengkapi air pancuran serta sebuah menara setinggi kira-kira 15 meter sebagai penanda kepada mereka yang berada di lautan.

Laluan pejalan kaki yang luas juga memudahkan penganjuran pelbagai majlis keramaian atau pertunjukan pentas di taman ini.


Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan muara Sungai Terengganu, terdapat pagar dibina di sepanjang kira-kira 500 meter di bahagian muara sungai.

Di bahagian dataran, simen yang berwarna kekuningan dan sebuah logo dibentuk menggunakan simen berwarna kehitaman menjadikan kawasan dataran itu begitu indah dan bersih.

Tiang lampu yang dihiasi dengan warna keemasan dan berbentuk warisan tradisional menjadikan pemandangan lebih menarik.

Sunday, July 11, 2010

Taman Tamadun Islam (TTI)


Taman Tamadun Islam (TTI) merupakan sebuah taman yang memaparkan keunggulan seni warisan dan seni bina Islam dari seluruh pelosok dunia. Taman Tamadun Islam (TTI) yang mula dibina pada Mac 2005 terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Jarak perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu ke Taman Tamadun Islam (TTI) ini ialah 4 km.

Projek pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI) ini melibatkan 34 kontraktor tempatan di bawah pemantauan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Taman Tamadun Islam (TTI) mempunyai keluasan 22.3 Hektar dengan kos pembinaan RM 249.3 juta.

Terdapat 6 fasa pembinaan TTI iaitu:

Fasa 1: Masjid Kristal, perumahan khas imam dan bilal.
Fasa 2: Monumen masjid yang menjadi mercu tanda Islam di seluruh dunia.
Fasa 3: Pusat konvensyen.
Fasa 4: Lagun, taman terbuka, wakaf, trek jogging, astaka dan kawasan memancing.
Fasa 5: Kompleks masuk TTI, pusat astronomi dan pusat komersil.
Fasa 6: Jalan masuk ke TTI.


Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu. Masjid yang dibina dari kaca dan keluli ini merupakan masjid pintar pertama di Malaysia. Masjid Kristal mempunyai keluasan 2,146 meter persegi dan boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa.


Bahagian monumen masjid adalah merupakan di antara bahagian paling ramai pengunjung. Bahagian ini mengandungi 21 monumen masjid dari seluruh dunia yang dibina pada nisbah skala 1:8 berbanding saiz asal.

4 dari monumen masjid ini di dalamnya mempunyai studio mini serta mempunyai 40 tempat duduk untuk tayangan bermaklumat. Selain pembinaan 21 replika sedia ada, kerajaan negeri bercadang membina kincir angin di mana saiznya lebih besar dan menyamai kincir angin digunakan oleh masyarakat Islam pada zaman lampau.

Replika masjid, monumen dan tugu yang ada di Taman Tamadun Islam:



Masjid Abu Nasr Parsa, Afghanistan
Maklumat lanjut, sila klik Link


Masjid an-Nabawi, Arab Saudi
Maklumat lanjut, Sila klik Link1 & Link2


Masjidil Haram, Arab Saudi
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2


Masjid Sultan Omar Syarif, Brunei
Maklumat lanjut, sila klik Link.


Masjid Xian, China
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3


Taj Mahal, India
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3


Masjid Kudus Minar, Indonesia
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3, Link4


Masjid Sheikh Lutfallah, Iran
Maklumat lanjut, Sila klik Link1, Link2


Masjid Besar Samarra, Iraq
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2


Masjid Negara, Malaysia
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2


Masjid Muhammad Ali, Mesir
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3, Link4


Masjid Besar Agadez, Nigeria
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3


Masjid Badshahi, Pakistan
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3


Masjid Kul Sharif Tatarstan, Russia
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3


Kota Al Hambra, Sepanyol
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3


Masjid Aleppo Citadel, Syria
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2


Masjid Pusat Petani, Thailand
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2


Masjid Qairawan, Tunisia
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2


Masjid Suleiman, Turki
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3, Link4, Link5


Menara Kalyan, Uzbekistan
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3, Link4


Kubah As Sakhra, Palestin
Maklumat lanjut, sila klik Link1, Link2, Link3

Taman Tamadun Islam (TTI) telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 3 hb. Februari 2008, sementara Masjid Kristal pula telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 hb. Februari 2008.

Bagaimana untuk ke Taman Tamadun Islam (TTI)

Perkhidmatan bot penambang dari Jeti Shahbandar ke Jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di Taman Tamadun Islam. Juga terdapat perkhidmatan bas dan teksi dari Bandar Kuala Terengganu ke taman ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pejabat Taman Tamadun Islam
Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang,
21000 Kuala Terengganu, Terengganu.
Tel: 09-6278888
Faks: 09-6309020
Laman Web: http://www.tti.com.my

Tourism Malaysia Terengganu
Tel: 09-6221433, 09-6221893

Popular Posts