-->
Booking.com

Friday, July 9, 2010

Masjid Hiliran Atau Masjid Haji Mat Kaya


Masjid Hiliran yang terletak kira-kira 3 km dari Bandar Kuala Terengganu merupakan salah satu masjid tertua di Negeri Terengganu. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Haji Mat Kaya.

Haji Mat Kaya yang mendalami ajaran agama islam di Bunut Payung, Kelantan dikatakan membiayai pembiayaan Masjid Hiliran ini. Masjid Hiliran ini dibina pada tahun 1925 di atas tanah seluas 0.6 Hektar pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942).

Sejarah awal Sekolah Menengah Agama Khairiah juga bernula di masjid ini. Sekolah Menengah Agama Khairiah diasaskan pada 8hb. September 1942 di beranda Masjid Hiliran oleh Ustaz Hj. Ahmad Fuad dan Ustaz Ahmad Zaki Bin Salleh Al-Masri.

Majlis perasmiannya telah dilakukan oleh DYMM Sultan Sulaiman pada hari Jumaaat 5hb. Mac 1943. Kemudiannya, Madrasah Al-Khairiah dipindahkan ke kawasan dekat Masjid Hiliran yang telah dikhairatkan dua buah rumah oleh Dato' Andika DiRaja dan En. Mohd. Ali Awang Besar.

Pada awal tahun 1953, Sekolah Menengah Agama Khairiah telah dikhaskan kepada pelajar-pelajar perempuan sahaja sehingga kini.

Selepas sekian lama, memandangkan masjid itu sudah terlalu usang, seorang alim dan hartawan tempatan, Muhammad Abdul Rahman membiayai semua kos pembinaan masjid di tapak asal masjid lama.

Uniknya masjid ini kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu terkenal.

Beliau merupakan pengasas wajah baru Masjid Hiliran dan untuk mengimarahkannya, beliau menjemput beberapa ulama tempatan dan dari luar untuk mengajar agama di masjid itu.

Pada awal pembinaan, Masjid Hiliran ini ditadbir sendiri oleh Muhammad Abdul Rahman dan ahli keluarga, bahkan beliau sendiri melantik imam dan bilal.

Muhammad adalah seorang hartawan yang mempunyai rangkaian perniagaan di Thailand, Singapura dan Indonesia. Perniagaan beliau berasaskan barangan tekstil, kayu-kayan, rempah-ratus dan sebagainya.

Harta wakaf yang berkaitan dengan Masjid Hiliran diurus dan ditadbirkan oleh Muhammad dan ahli keluarga dan antara yang memberi sumbangan ialah anak beliau Muhammad Salih @ Haji Su.

Pada akhir tahun 1930an, disamping kuliah pihak masjid juga telah mengadakan kelas agama dan Bahasa Arab di ruang khas masjid yang dinamakan Balai Lintang.

Pada tahun 1942, Muhammad kembali ke rahmatullah dan anaknya Haji Su menggantikan tempatnya sebagai pentadbir Masjid Hiliran. Setelah kematian Haji Su pada tahun 1952, pentadbiran masjid telah diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Salah satu keunikan yang terdapat di Masjid Hiliran ini ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).

Menurut penduduk setempat, Telaga Mandi Gajah Putih ini dibina dengan menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata. Pembinaan telaga ini dikatakan bertujuan untuk memandikan Gajah Putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang telah dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan Baginda dan para pembesar negeri ke Siam.

Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijiruskan ke badannya.

Berdasarkan kajian, Nama Kampung Hiliran (Tapak Masjid Hiliran) diberi kerana di kawasan itu terdapat satu aliran sungai yang bertemu dengan hilir Sungai Terengganu.

Pada zaman dahulu, aliran sungai yang dikenali sebagai Sungai Sri Nilam adalah sungai yang besar dan menjadi laluan utama peniaga dari kampung berhampiran menuju ke Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Sungai Terengganu.

Sungai Sri Nilam ketika itu luas dan dalam sehingga perahu besar dapat berlabuh, bahkan Kampung Hiliran juga dijadikan tempat persinggahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan.

Antara kampung yang masih kekal menggunakan perkataan 'hiliran' ialah Kampung Hiliran, Kampung Hiliran Jejawi, Kampung Hiliran Telaga Parit dan Kampung Hiliran Masjid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts