-->
Booking.com

Thursday, July 8, 2010

Masjid Tengku Tengah Zaharah@Masjid Terapung


Masjid Tengku Tengah Zaharah atau masjid yang lebih dikenali dengan nama Masjid Terapung ini terletak di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai kira-kira 7 km dari Bandar Kuala Terengganu dan berdekatan dengan kawasan pantai Terengganu.

Masjid yang bernilai RM 6.977 juta ini mula dibina pada September 1991 dan siap sepenuhnya pada pertengahan Februari 1994. Masjid ini telah dibina oleh Syarikat Sri Terukun Sendirian Berhad di bawah pengendalian Jabatan Kerja Raya Terengganu.

Rekabentuk Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung diilhamkan oleh Yang Mulia Raja Bahrin Shah dari Seni Bahri. Pembinaan Masjid Terapung ini sebenarnya adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Setelah siap dibina, Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung telah dinamakan sempena nama bonda Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja.


Masjid Terapung ini mempunyai keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 38 meter. Masjid yang dibina di atas pelantar terapung air di muara Sungai Ibai ini mempunyai keunikan tersendiri dengan menampilkan ciri-ciri Tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.

Masjid Terapung yang di kelilingi air sedalam 1.5 meter turut mempunyai kubah besar, wakaf, bilik diraja, perpustakaan kecil, bilik dan pejabat imam, stor, tempat wuduk dan kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.

Masjid ini mampu menampung sejumlah 1,000 orang jemaah dan mempunyai dua dewan solat. Dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.


Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung ini merupakan salah satu masjid tercantik di Terengganu dan menjadi mercu tanda Bandar Kuala Terengganu dan Negeri Terengganu.

Keindahan seni bina masjid ini menarik ramai pengunjung untuk berkunjung dan menunaikan solat di sini. Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut Cina Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.

Bagaimana untuk ke Masjid Tengku Tengah Zaharah / Masjid Terapung

Dari Bandar Kuala Terengganu, anda perlu mengikut arah ke selatan menuju Dungun, Marang atau Kuantan dengan menggunakan bas atau memandu kereta. Setelah kira-kira 6-8 km, anda akan dapat melihat masjid di tepi jalan di sebelah kiri.

Talian Untuk Dihubungi

Pusat Maklumat Pelancongan Terengganu
Tel: 09-6221553
Faks: 09-6221957

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts