-->
Booking.com

Saturday, July 17, 2010

Bukit Puteri


Bukit Puteri merupakan salah satu produk pelancongan yang amat menarik untuk dikunjungi jika anda ke Bandar Kuala Terengganu. Bukit Puteri bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong tempatan malah ramai pelancong luar yang telah datang ke sini.

Menurut sejarah, Bukit Puteri dibuka oleh ketua suku dari Johor bernama Tuk Raja Menteri yang datang ke Terengganu dengan tujuan hendak melantik Sultan Zainal Abidin I sebagai Sultan Terengganu pertama.


Bukit Puteri yang terletak di kawasan Bandar Kuala Terengganu dan berhampiran muara Sungai Terengganu merupakan sebuah bukit yang unik, menyimpan banyak sejarah dan misteri.

Lokasi Bukit Puteri ialah bersebelahan dengan Istana Maziah, berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Bazar Warisan dan Taman Shahbandar di Kuala Terengganu. Keluasan kawasan Bukit Puteri ialah 0.688 Hektar.


Pelbagai peninggalan sejarah masih jelas dapat dilihat di Bukit Puteri ini antaranya Singgahsana sementara, tempat simpanan bedil dan meriam, Genta (loceng besar), Meriam Beranak, tiang bendera dan Rumah Api.

Malah pelancong juga dapat melihat sendiri kubu pertahanan yang dibina dengan menggunakan pasir, putih telur, kapur, kulit kerang dan madu lebah yang masih lagi kukuh walaupun telah berusia hampir sedekad yang lalu.


Bukit yang berusia 173 tahun dan mempunyai ketinggian 200m dari aras laut ini mula dikenali apabila Sultan Baginda Omar menjadikan Bukit Puteri sebagai benteng pertahanan pada tahun 1831.

Perang Saudara ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II (1831-1836), Sultan Muhamad I (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876). Sebagai kubu pertahanan, beberapa unit meriam dan loceng (Genta) ditempatkan di atas Bukit Puteri.


Meriam-meriam yang ada di sini terdiri daripada pelbagai jenis buatan seperti dari Sepanyol, Portugis dan juga meriam buatan dari Tanah Melayu. Meriam-meriam ini diberikan nama yang berlainan seperti Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamior dan Laila Majnun. Apa yang menarik perhatian mengenai meriam-meriam ini ialah tentang 'Seri Bueh' atau lebih dikenali dengan nama `Meriam Beranak’.

Ini adalah kerana kedudukan meriam ini yang seolah-olah mempunyai hubungan, di mana terdapat sepucuk meriam besar yang menjadi 'ibu' kepada sepucuk meriam kecil disisinya. Oleh kerana saiz dan keadaan kedua-dua pucuk meriam ini lebih mirip kepada 'ibu dan anak' maka dengan itu ianya lebih termasyhur dengan panggilan Meriam Beranak.


Di atas Bukit Puteri juga terdapat sebuah loceng besar atau dikenali sebagai Genta. Genta pertama yang terdapat di atas bukit ini dikatakan dibuat pada pada zaman pemerintahan Sultan Omar (Sultan Terengganu yang ke-9) pada 15 Mei 1853 (17 Syaaban 1270H).

Genta pertama ini telah dinamakan 'Negara'. Adalah dipercayai loceng atau Genta yang ada kini dibina pada tahun 1908 (1326H) semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Genta yang beratnya 175 kilogram ini diperbuat daripada tembaga kuning oleh seorang tukang bernama Wan Ali Bin Wan Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang lain dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu.

Loceng besar atau Genta ini digunakan untuk sesuatu majlis atau untuk memberitahu rakyat sekiranya ada musuh datang menyerang. Ini membolehkan rakyat bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Genta ini akan digantikan sekiranya berlaku sebarang kerosakan. Kini genta ini telah ditempatkan di dalam sebuah pondok berjaring dikenali sebagai Pondok Genta.

Di Bukit Puteri juga terdapat tiang bendera yang digunakan sekiranya ada majlis atau istiadat kebesaran. Pada 22 April 1899, ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, satu majlis dengan tembakan meriam sebanyak 16 das telah diadakan semasa upacara menanam tiang dilakukan.

Tiang bendera ini mempunyai ketinggian 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter. Bagaimanapun, tiang yang ada sekarang ini bukanlah tiang bendera yang asal tetapi yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942).


Selain dari meriam, loceng besar(Genta) dan tiang bendera, terdapat pelbagai lagi tinggalan sejarah yang ada di Bukit Puteri ini seperti Gua Puteri, kubur lama dan Rumah Api. Gua Puteri ini dikatakan tempat menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu. Di sebelah atasnya terdapat kesan-kesan sebuah Singgahsana raja.

Di salah satu kawasan hujung bukit pula terdapat satu kawasan yang dipercayai sebagai kawasan perkuburan lama. Rumah Api yang terletak di puncak Bukit Puteri ini pula menjadi panduan bagi nelayan dan pelayar untuk ke Kuala Sungai Terengganu.


Terdapat juga cerita dan kisah menarik dari penduduk kampung mengenai Bukit Puteri. Antaranya Bukit Puteri ini dikatakan pernah menjadi kediaman Puteri Bunian. Pada masa itu, penduduk kampung sentiasa datang untuk meminjam peralatan seperti pinggan mangkuk untuk majlis perkahwinan atau majlis keramaian. Akibat tidak memulangkan kembali dan mengganti semula peralatan yang dipinjam, Tuan Puteri telah merajuk dan melarikan diri dari Bukit Puteri.


Bukit Puteri kini diletakkan dibawah jagaan Muzium Negeri Terengganu dan menjadi aset pelancongan penting bagi negeri Terengganu. Bayaran masuk untuk mengunjungi Bukit Puteri itu ialah sebanyak RM 1.00 bagi orang dewasa dan RM 0.50 sen untuk kanak-kanak.

Ia dibuka setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang dan orang ramai akan dapat melihat keindahan bandar dan muara Sungai Terengganu dari atas bukit.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts