-->
Booking.com

Wednesday, July 7, 2010

Masjid Abidin Atau Masjid Puteh


Masjid Abidin atau dulunya dikenali dengan nama Masjid Besar atau Masjid Puteh dibina oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793–1808 M. Masjid Abidin ini asalnya diperbuat daripada kayu.

Namun semasa Terengganu di bawah pemerintahan Al-Marhum Sultan Umar, perubahan struktur fizikal menyaksikan bangunan kayu itu telah diganti dengan bangunan baru yang diperbuat daripada batu dalam tahun 1852 M (1269 H).

Pada awal pembinaan masjid ini, tiang seri atau tiang di tengah-tengah masjid masih belum dibina. Hanya ada sebuah kubah yang dibuat berasingan dari kayu dan beratap kayu berlian, serta mempunyai 6 buah kolah sahaja.

Pada tahun 1881, Sultan Ahmad II Ibni Yang Dipertua Muda Tengku Mahmud telah membangunkan kubah masjid ini bagi menggantikan kubah lama yang telah dibina pada masa pemrintahan Sultan Umar.

Satu istiadat telah diadakan sempena upacara tersebut pada jam 7.00 pagi, Sabtu 1hb Jamadil Akhir 1298H (1881M). 16 das tembakan meriam dilepaskan menandakan rasminya penggunaan kubah baru di masjid ini.

Pada tahun 1901 Masihi semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Zainal Abidin 111, masjid ini diperbesarkan bagi menampung jemaah yang kian bertambah. Pembesaran ini melibatkan kerja-kerja pemasangan tiang-tiang di ruangan tengah bahagian dalam dinding, dinding tembok simen, sutuh serta tiga buah menara.

Kali terakhir bangunan Masjid Abidin diubahsuai ialah pada tahun 1972. Sultan Terengganu ketika itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah telah memerintahkan supaya masjid itu diperbesarkan untuk membolehkan masjid ini menampung sejumlah 2,500 jemaah pada setiap masa.

Serentak itu sebuah menara tinggi telah didirikan dan turut sama dibina ialah beberapa buah kubah di atas sutuh bangunan tersebut.



Ciri-ciri kesenian yang ada pada Masjid Abidin

Pada sisi masjid dan bahagian atas pintunya dipenuhi dengan ukiran halus seni khat ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa.Selain itu masjid ini juga kaya dengan sentuhan ukiran ‘Awan Larat’ yang mempersonakan mata memandang. Mimbar yang ada ini direkacipta oleh Encik Abdullah Datuk Banda, tulisan khat kasar pada pintu hadapan telah diukir oleh Tengku Abdul Kadir dan Abdul Rahman Istanbul.

Tempat persemadian Diraja

Masjid Abidin juga terkenal sebagai tempat persemadian diraja. Antara makam-makam yang terdapat di dalam masjid tersebut ialah Makam Al-Marhum Sultan Mansor Shah 1 dan Permaisuri Tengku Bulang, Al-Marhum Baginda Umar, Al-Marhum Sultan Zainal Abidin 111, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Al-Marhum Sultan Ahmad 11 dan Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Bagaimana untuk ke Masjid Abidin

Terletak di Jalan Masjid Abidin, kira-kira 5 minit berjalan kaki dari Hentian Bas MBKT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts