-->
Booking.com

Saturday, June 12, 2010

Sejarah Asal Daerah Kemaman

Berdasarkan kepada peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (Ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek dari Mesir), Kemaman sudah mula dikenali sejak kurun ke-2 sebelum masihi dengan nama “KOLE”. Beliau ada mencatatkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur iaitu “ Perimula” dan “Kole”. Ahli Sejarah bersetuju bahawa “Perimula” adalah Kuala Sungai Terengganu manakala “Kole” pula adalah Kemaman.

Sejarah pembukaan Daerah Kemaman agak kabur ekoran tidak ada catatan bertulis dan bukti-bukti sahih mengenainya. Catatan bertulis yang ada mengaitkan pembukaan Daerah Kemaman dengan Bangsawan Patani yang dikenali sebagai Lebai Saris.

Bagaimanapun, versi ini mencatatkan peristiwa awal abad 19 iaitu semasa Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Syah I (1808-1830). Namun ahli & pakar sejarah bersetuju bahawa daerah ini mula diterokai kira-kira 300 tahun dahulu (Sekitar tahun 1700) oleh Che Wan Teh dan pengikut-pengikutnya.


Che Wan Teh berketurunan Bangsawan Pahang telah berhijrah ke daerah ini dari Kuala Pahang berikutan kekacauan dan huru-hara yang sering berlaku di sana. Beliau telah membuka penempatan di kawasan pantai dan kampung pertama yang mula diterokai ialah Kampung Bukit Kuang. Sebelum kedatangan orang Melayu, kawasan ini mulanya didiami oleh kaum Sakai yang kemudiannya berpindah ke kawasan pendalaman Kemaman.


Setelah beberapa lama berkampung di Bukit Kuang, Che Wan Teh telah berpindah membuka perkampungan baru berhampiran Muara Sungai Kemaman dikenali Tanjung Geliga. Penempatan baru ini juga tidak selamat kerana sering diganggu oleh ancaman lanun dan perompak. Oleh itu, Che Wan Teh dan pengikutnya sekali lagi berpindah dan meneroka kawasan baru di tebing Sungai Kemaman yang dikenali sebagai Cukai (3 km dari Tanjung Geliga).

Sebuah perkuburan lama di temui di kawasan berkenaan. Che Wan Teh dikatakan meninggal dunia tidak lama selepas membuka Kampung Cukai. Pengikut-pengikutnya serta generasi selepas beliau kemudiannya meneruskan penerokaan kawasan-kawasan baru berikutan pertambahan penduduk dan keperluan tanah pertanian yang baru.

Pembukaan Daerah Kemaman juga dikaitkan dengan Bangsawan Pattani yang dikenali sebagai Lebai Saris pada awal abad ke-19 semasa Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad (1808-1830).

Lebai Saris juga dikaitkan sebagai orang yang telah memberi perkataan "Kemaman" iaitu gabungan perkataan-perkataan "Kera" dan "Pokok Maman". Ketika Lebai Saris dan pengikutnya meneroka kawasan penempatan di Kampung Nyor, mereka terserempak dengan sekumpulan Kera yang berani dan cerdik.

Mengikut cerita, Kera ini dianggap keramat dan dinamakan Kera Maman oleh Lebai Saras. Selain menamakan kawasan tersebut sebagai Kera Maman, mereka juga turut membuat keputusan untuk terus menetap di situ. Namun, penduduk tempatan merasa sukar untuk menyebut nama Kera Maman yang terlalu panjang, lalu menukarkannya kepada Kemaman.

Tidak dapat dinafikan bahawa Lebai Saris telah memainkan peranan penting dalam pembukaan Daerah Kemaman secara lebih meluas di antara Kampung Mak Cili, Kampung Mat Lagam, Kampung Pasir Tengku dan Kampung Jabor. Penduduk Daerah Kemaman telah bertambah dan kekuasaan Lebai Saris semakin teserlah.

Berikutan itu, timbul fitnah menyatakan Lebai Saris tidak mahu lagi tunduk kepada Yang DiPertuan Terengganu. Oleh itu Sultan Ahmad telah menghantar Engku Kembal untuk melawan kekuatan Lebai Saris yang di ketuai oleh anaknya Abu Bakar. Dengan tipu muslihat, Engku Kembal telah berjaya menewaskan Lebai Saris dan anaknya. Kedua-dua mereka dianggap penderhaka dan di hukum sula dengan Suda Nipah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts