-->
Very Limited ! Done For You - Dropshipping ECommerce Website + FB Store..Affordable Pricing...Sms/WhatsApp 019-9932023..

Thursday, June 17, 2010

Sejarah Asal Daerah Kuala Terengganu

Kuala Terengganu merupakan bandaraya perdagangan maritim yang penting pada zaman purba. Kampung Cina yang terletak di pesisir Kuala Terengganu merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu sejak awal abad ke 15. Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara Kerajaan China dan Kerajaan Terengganu.

Perkataan ’Teng Ya Nu’ ada disebut dalam buku sejarah China seperti ’Ling Wai Tai Ta’ karangan Cao Cu Fei tahun 1178 dan buku ’Cu fan Cih’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1225. Chao Ju Kua dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebut ’Teng Ya Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.

Perkataan tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke 2. Ptolemy, seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan dua buah Pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu Primula dan Kole. Primula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman.

Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga menyebut tentang sebuah negeri yang dinamakan ’Tan Tan’ yang menghantar ufti ke China dan Paul Wheatley merumuskan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan China itu mungkin berkerajaan di Kuala Besut atau Kuala Terengganu. Catatan tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat perniagaan utama di Asia Tenggara pada abad ke 12.

Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu. Pedagang barangan seperti Kayu Gaharu, Kayu Laka, Gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan Emas dan Perak.

Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433. Pada abad ke 19, pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah di Kuala Terengganu mencatatkan kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.

Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara Kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Bagaimanapun, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot selepas ditakluk Empayar Melaka.

Ini disebabkan kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.

Bukti lain kewujudan sebuah kerajaan purba di Terengganu ialah penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat tersebut bertulisan Jawi dan menggunakan Bahasa Melayu Kuno. Penemuan itu juga telah menjadi bahan sejarah yang tidak ternilai dan merupakan satu-satunya bukti yang menunjukkan kemasukan agama Islam ke Tanah Melayu sejak abad ke 14 lagi.

Sejarah Terengganu moden bermula apabila Tun Zainal Abidin dari keturunan DiRaja Johor ditabalkan memerintah Terengganu pada 1708. Baginda memakai gelaran Sultan Zainal Abidin 1.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts