-->
Booking.com

Saturday, September 25, 2010

Gua Bewah


Gua Bewah merupakan gua batu kapur yang terkenal di Tasik Kenyir. Ia terletak 578 meter dari aras laut dan mempunyai bentuk dan formasi stalaktit dan stalagmit yang unik seperti bentuk burung dan manusia.


Sekumpulan penyelidik arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja penggalian berjaya menemui rangka manusia dan artifak yang dipercayai dari zaman Mesolitik berusia 8,000 hingga 11,000 tahun baru-baru ini.


Antara artifak tersebut ialah kulit siput, tulang haiwan, tanduk kambing, alat batu jenis Sumatralith, pisau batu, batu pengetuk, batu pelandas dan sisa tanah liat yang dibakar. Semua artifak yang dijumpai disimpan di Muzium Negeri dan akan didokumenasikan pada tahun 2012.


Sebelum ini, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu dilaporkan pernah melakukan kerja penggalian pada Julai 1976 dan antara artifak yang ditemui ketika itu termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang siput sedut. Bagaimanapun seorang pengkaji sejarah Inggeris R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu sekitar Mei 1956 dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.


Untuk menikmati keindahan Gua Bewah, pengunjung perlu mendaki 240 anak tangga untuk ke pintu gua. Pengunjung juga berpeluang merasai suasana sejuk di dalam gua selain melihat pokok keladi besar dan cili padi hidup subur di hadapan pintu gua. Antara keunikan lain yang hanya terdapat di Bukit Bewah ialah spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.


Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar bagi pencahayaan lampu di dalam gua dan laluan untuk memudahkan pengunjung yang datang ke sini. Untuk berkunjung ke Gua Bewah, pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Pengkalan Gawi atau Jenagor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts