-->
Booking.com

Sunday, September 26, 2010

Memorial Batu Bersurat


Memorial Batu Bersurat terletak di Kampong Buloh, Hulu Terengganu. Ia dibangunkan sebagai suatu peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat ini merupakan bukti bertulis tentang pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Terengganu malahan di Semenanjung Malaysia.


Memorial ini direkabentuk empat segi sama seluas 11400 cm x 11400 cm dan bertingkat tiga belas termasuk replika Batu Bersurat yang melambangkan Rukun Iman dan jumlah daerah di Negeri Terengganu. Bahan binaannya terdiri dari batu granit hitam. Memorial ini dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 13 April, 1992.


Sejarah Batu Bersurat

Batu Bersurat dijumpai di Padang Tara, di tepi Sungai Tara, Kampung Buloh, Kuala Berang di Daerah Hulu Terengganu pada tahun 1887. Kemudian pada tahun 1902, Batu Bersurat ini dijumpai pula oleh Husin Bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buloh. Batu Bersurat ini dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surat dan patah sebahagian di sebelah atas.


Saiyed Husin telah meminta Penghulu Ali dan orang kampung untuk mengangkat Batu Bersurat ini untuk dibawa ke Kuala Terengganu dengan menggunakan rakit. Batu Bersurat ini telah dipersembahkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III.


Batu Bessurat ini kemudiannya diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922, Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson telah meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun yang bernama N.Suzuki untuk mengambil gambar Batu Bersurat. Gambar ini dihantar kepada C.O Blegden untuk dibuat pembacaan.

Monumen Batu Bersurat Di Kuala Terengganu


Batu Bersurat ini ditulis dengan tulisan jawi bertarikh 702 hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, Batu Bersurat ini dihantar ke Muzium Singapura sebagai pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa Ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Febuari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi, suatu apacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail Bin Adam dan Kerajaan Negeri Terengganu diwakili YAB. Dato’ Seri Amar DiRaja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu ketika itu.

Batu Bersurat ini merupakan sebuah peringatan yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengisytiharan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-undang Islam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts