-->
Very Limited ! Done For You - Dropshipping ECommerce Website + FB Store..Affordable Pricing...Sms/WhatsApp 019-9932023..

Thursday, September 30, 2010

Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 1976 ini merupakan muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Muzium Negeri Terengganu dibina di atas tapak seluas 27 Hektar di Bukit Losong, Kuala Terengganu. Jarak perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Terengganu ke Muzium Negeri Terengganu ialah 6 Km.


Muzium Negeri Terengganu ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 20 April 1996 (2 Zulhijjah 1416). Ia terdiri dari empat buah blok bangunan Muzium Utama, Muzium Maritim, lima buah Rumah Tradisional serta kawasan landskap.


Antara galeri yang terdapat di bangunan utama ialah Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri DiRaja, Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Petroleum, Galeri Ilmu Kejadian. Di Muzium Maritim pula terdapat dua galeri iaitu Galeri Perikanan & Taman Laut serta Galeri Pelayaran dan Perdagangan.


Konsep rekabentuk Kompleks Muzium Negeri Terengganu ini telah diilhamkan oleh Yang Mulia Raja Dato’ Kamarul Bahrin Shah. Pada asasnya ada tiga pertimbangan utama untuk dibuat di dalam merealisasikan rekabentuk bangunan utama Kompleks Muzium Negeri Terengganu.


Pertama, ia berkaitan dengan imej ataupun rupabentuk bangunan. Pada peringkat awal, objektif rupabentuk adalah lebih menjurus kepada cita-cita untuk mewujudkan sebuah bangunan yang dapat menggambarkan senibina melayu tempatan. Untuk maksud tersebut, maka rekabentuk Rumah Tele ataupun Rumah Bujang Berserambi telah dipilih.


Ciri utama rekabentuk senibina ialah 'fascia' hadapannya yang dikenali sebagai pemeleh dan dinding panel berukir. Bangunan ini juga direkabentuk untuk memberikan gambaran seakan-akan ia berdiri di atas tiang dengan ruang masuk melalui tangga yang terangkat seperti rumah tradisional di kampung-kampung. Bahan serta ukiran kayu yang diselitkan bertujuan untuk menambahkan aspek keaslian serta estatiknya.


Kedua, perancangan susun atur ruang yang diputuskan di dalam aspek pembinaan bangunan utama ini mengandungi 4 blok yang bersambung dengan ruang ‘communal’ yang berfungsi sebagai laman pameran. Rangkaian bangunan yang bersambung ini mengambarkan satu keluarga yang besar yang berakar umbi daripada keluarga asas iaitu blok utama dan apabila jumlah isi keluarga berkembang maka wujudlah bangunan yang baru iaitu rangkaian blok-blok lain.


Daripada aspek kekeluargaan, ia menampakkan suasana akrab dan rapat di antara ahli keluarga. Jambatan perhubungan di antara blok utama dengan blok yang lain menggambarkan bahawa hubungan di antara ibubapa dan anak serta ahli keluarga sentiasa terjalin dengan erat.


Susun atur ruang sedemikian juga diharap akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati sistem laluan yang menarik dan selesa di mana mereka boleh bergerak dari satu blok ke satu blok yang lain. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati dua keadaan yang berbeza, di mana semasa berada di dalam bangunan, pengunjung akan menikmati suasana yang agak ‘mekanikal’ manakala semasa berada di jambatan penghubung, pengunjung menikmati suasana luaran yang begitu ‘natural’ dan nyaman.


Ketiga, bangunan ini juga dibina menghadap sungai di dalam paksi Timur Barat. Konsep ini dilaksanakan berasaskan pengangkutan tradisi yang menggunakan jalan air. Dengan ini, diharapkan pengunjung berpeluang untuk datang ke Muzium dengan menggunakan jalan air. Untuk lebih efisyen, sebuah jeti yang boleh dijadikan pengkalan oleh para pengunjung juga telah dibina.


Sebuah lagun buatan juga telah dibina sebagai kolam bayangan berhampiran dengan tebing sungai. Kewujudan kolam bayangan ini akan dapat mengurangkan konsep ukuran bangunan kepada konsep yang lebih berteraskan ukuran kemanusiaan.


Bayaran masuk ke Muzium Negeri Terengganu ini ialah RM5.00 bagi dewasa dan RM2.00 bagi kanak-kanak. Muzium Negeri Terengganu dibuka dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Sabtu hingga Khamis. Pada hari Jumaat, Muzium dibuka dari jam 9.00 hingga 12.00 tengahari dan 3.00 petang hingga 5.00 petang. Muzium Negeri Terengganu juga dibuka pada Hari Kelepasan Am dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Batu Bersurat


SEJARAH MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Dari segi sejarah, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri Terengganu mula terbit sejak tahun 1920an. Ketiadaan tempat untuk menyimpan Batu Bersurat telah menyedarkan Kerajaan Negeri Terengganu pada masa tersebut untuk mempunyai Muzium Negeri sendiri.

Ekoran dari peristiwa itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah tiada pilihan selain memperkenankan Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Menteri Besar Terengganu pada masa itu Dato’ Haji Ngah Mohd Bin Yusof telah bersetuju dengan surat jawapan daripada Penasihat British yang berbunyi:

" Maka apakala diadakan muzium di dalam Terengganu kelak ataupun tempat lain yang munasabah bolehlah kerajaan mengambil balik pula pada bila-bila masa yang dikehendaki adanya ".

Pada tahun 1955, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Kamaruddin Bin Haji Idris telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh Y.B.M. Engku Pengiran Anom, Haji Mohd Salleh Bin Haji Awang, Cikgu Muhamad Akil Bin Atan dan Haji Wan Endut Bin Othman bertujuan mengumpul dan memperolehi barang-barang lama dan bersejarah. Usaha jawatankuasa ini terbantut akibat dari masalah kewangan dan peruntukan undang-undang.

Pada 14 januari 1960, Y.B. Dato’ Andika Indera, Encik Ishak Bin Mohd Isa iaitu Setiausaha Kerajaan Terengganu telah membuat satu perjumpaan dan bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Allahyarham Dato’ Setia Jasa Dato’ Haji Mohd Saleh Bin Haji Awang pula memegang jawatan setiausaha.

Serentak dengan itu, peruntukan diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli barang dan koleksi warisan sejarah serta budaya negeri Terengganu. Kerja-kerja pengumpulan barang dan koleksi bermula pada Julai 1960 dan ianya telah ditempatkan di dalam almari di satu sudut khas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu.

Hasrat untuk mempunyai muzium sendiri semakin mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Negeri Terengganu. Pada 3 Febuari 1974, jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Wira Jaya, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu. Dengan pembentukan jawatankuasa ini, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri mula menampakkan bibit-bibit kejayaan khususnya apabila termaktubnya Enakmen Lembaga Muzium Negeri Terengganu (Enakmen Bil 9/ 1976).

Pentadbiran Muzium Negeri Terengganu terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 1979, kerja-kerja pengumpulan barang-barang lama dan bersejarah diteruskan dengan lebih giat. Dua orang tokoh yang memainkan peranan yang penting di dalam perkembangan dan kemajuan Muzium Negeri Terengganu ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa Dato’ Hj. Mohd Saleh Bin Awang dan Tuan Haji Othman Bin Haji Ali.

Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Jawatan ini telah ditukar kepada jawatan Pengarah pada tahun 1995. Pada April 1994, Segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kampung Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.

Bagaimana untuk ke Muzium Negeri Terengganu


Anda boleh menaiki bot yang boleh disewa di Jeti Shahbandar, berhadapan Pejabat Pos Besar dan Istana Maziah. Anda juga boleh menaiki bas awam ke Muzium/Losong yang hanya mengambil masa selama kira-kira 15 minit dari Hentian Bas MBKT. Dari Hentian Teksi Kuala Terengganu, perjalanan ke Muzium Negeri Terengganu hanya mengambil masa kira-kira 10 minit. Sekiranya anda menggunakan kenderaan sendiri, anda perlu mencari laluan/jalan untuk ke Kampung Losong yang terkenal dengan Keropok Lekor.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Lembaga Muzium Negeri Terengganu
Bukit Losong, 20566 Kuala Terengganu, Terengganu.
Tel: 09-6221444
Faks: 09-6231209
Laman Web: http://www.muzium.terengganu.gov.my
Emel: pengarah@muzium.terengganu.gov.my

2 comments:

  1. Salam, kami pakar di dalam kerja2 kayu merekabentuk dan membina gazebo(wakaf), pergola, rumah kayu, pagar bercirikan senibina warisan. Hubungi AKAR RUSTIKA 0173110307 @ www.facebook.com/akarminda. "New Ideas For Heritage".

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

Popular Posts