-->
Very Limited ! Done For You - Dropshipping ECommerce Website + FB Store..Affordable Pricing...Sms/WhatsApp 019-9932023..

Thursday, September 30, 2010

Pantai Teluk Mak Nik@D'Monica Bay


Pantai Teluk Mak Nik terletak kira-kira 150 km dari Bandaraya Kuala Terengganu. Lokasi Pantai Teluk Mak Nik ini ialah di Geliga, Kemaman dan berhampiran dengan Institut Tadbiran Awam Malaysia (INTAN). Dari Bandar Chukai, perjalanan hanya mengambil masa 5-10 minit untuk ke sini.


Pantai Teluk Mak Nik sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung terutama pada hujung minggu atau musim cuti persekolahan. Pantai Teluk Mak Nik menjadi sangat popular selepas terpilih sebagai salah satu lokasi penganjuran acara Sukma 2008.


Pelbagai aktiviti yang menarik juga sering diadakan di Pantai Teluk Mak Nik. Pantai yang turut dikenali penduduk tempatan sebagai 'D'Monica Bay' itu merupakan lokasi penganjuran beberapa acara dan majlis oleh agensi kerajaan dan swasta.


Antara aktiviti yang selalu dianjurkan di sini ialah hari keluarga, pertandingan bola sepak pantai dan bola tampar pantai selain pertandingan memancing. Gelanggang Bolasepak dan Bola Tampar yang dibina semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2008 juga ada di Pantai Teluk Mak Nik. Peminat Futsal juga boleh mempamerkan kelincahan di gelanggang Futsal yang ada di pantai ini.


Kelab Motocross juga sering melakukan latihan dan persembahan di pantai ini yang menyebabkan orang ramai tertarik untuk ke sini. Bagi yang berminat dengan aktiviti sukan permotoran, anda boleh mencuba kehebatan dan ketangkasan anda di lapangan motorcross.


Pantai Teluk Mak Nik juga merupakan lokasi tumpuan penyu bertelur yang biasanya bermula dari Mac hingga Oktober. Spesies yang biasa naik ke Pantai Teluk Mak Nik ialah Penyu Agar atau dikenali 'Green Turtle'.


Antara kemudahan awam lain yang terdapat di Pantai Teluk Mak Nik ini ialah wakaf, kiosk perniagaan, tandas awam dan taman permainan kanak-kanak.


Bagi pengunjung, keindahan dan kedamaian di Pantai Teluk Mak Nik menjadi faktor utama ia menjadi pantai pilihan untuk beriadah dan berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan biarpun pada musim tengkujuh. Sekiranya anda berkunjung ke Pantai Teluk Mak Nik, jangan lupa untuk mencuba makanan popular di sini iaitu Otok-otok, Sata dan Keropok.

Bagaimana untuk ke Pantai Teluk Mak Nik


Dari Bandar Chukai, pandu kenderaan ke arah Kuantan. Kira-kira 5-10 minit perjalanan, apabila tiba di Hentian Bas Ekspress / Masjid Geliga, belok ke kiri dan teruskan perjalanan sehingga anda menemui Pantai Teluk Mak Nik.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts